MEI 2022

Aktiviti Hutan Karbon, Sarawak Bakal Peroleh Pendapatan Baharu


KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) (Pindaan) Hutan 2022 untuk meminda Ordinan Hutan yang dikuatkuasakan sejak 1 Jun 2015 diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

RUU itu dibentangkan oleh Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Awang Tengah berkata, dengan kelulusan RUU itu hasil hutan akan merangkumi simpanan karbon dan gas rumah hijau daripada aktiviti karbon hutan yang dilesen, diperoleh di hutan tetap dan tanah yang diasingkan.

“Pengenalan RUU itu adalah manifestasi jelas komitmen Kerajaan Sarawak untuk mengawal pengurusan hutan. Ia juga untuk menjamin kelestarian sumber hutan,” katanya dalam bacaan kedua RUU (Pindaan) Hutan 2022 pada mesyuarat kedua bagi penggal pertama persidangan DUN.

Usaha melestarikan sumber hutan itu merangkumi tiga tonggak utama iaitu kemakmuran ekonomi, mewujudkan masyarakat inklusif dan melestarikan alam sekitar, katanya.

Pindaan RUU itu, bertujuan mengurus hutan dan sumber semula jadi hutan negeri ini dengan baik sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (kelestarian alam sekitar) dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 2015.

RUU itu memberi kuasa kepada pengarah hutan dengan kelulusan menteri, mengeluarkan lesen untuk aktiviti hutan karbon ke atas tanah negeri, hutan tetap dan tanah diasingkan boleh mengurangkan pelepasan karbon dioksida dan gas rumah hijau lain, katanya.

Di bawah RUU itu, lesen aktiviti hutan karbon akan dikeluarkan sejurus pembayaran fi dibuat, katanya.

Apabila lesen diberikan, katanya pemegang akan memiliki kepentingan penuh dan hak dari segi undang-undang ke atas bekalan karbon atau bekalan gas rumah hijau yang dihasilkan.

Di bawah sistem pemberian lesen, katanya, kepentingan penuh pemegang lesen dan mereka yang melabur dalam  aktiviti hutan karbon dilindungi oleh undang-undang.

RUU itu mewajibkan semua pihak mendapatkan lesen sebelum terlibat dalam aktiviti hutan karbon.

“Jika tidak, ia akan melakukan kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang,” tambahnya.

Dengan pindaan ke atas RUU itu, Kerajaan Sarawak akan menggalakkan kegiatan berkaitan hutan yang boleh mengurang kesan buruk terhadap perubahan iklim, katanya.

Melalui aktiviti hutan karbon, negeri ini dijangka memperoleh sumber pendapatan baharu dianggarkan RM315 juta setahun, katanya.

Ia berdasarkan harga karbon Bank Dunia sekarang pada USD5 satu tan karbon dengan anggaran 30 peratus hutan tetap boleh menghasilkan unit kredit karbon pada kadar 200 tan karbon sehektar.

Kegiatan industri hutan di negeri ini akan berubah susulan RUU pindaan yang diluluskan itu dengan melestari sumber hutan, katanya.

Sumber dari : Jiwa Bakti